KOTA KINABALU: Barisan Kabinet baharu yang dilantik di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat pasukan yang berorientasikan tindakan.

Sambil menyambut baik pelantikan enam Ahli Parlimen dari Sabah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata anggota kabinet itu mampu menangani cabaran ekonomi disebabkan pandemik COVID-19 dengan berkesan.

"Rakyat mempunyai harapan tinggi terhadap mereka dan semoga dengan pasukan baru ini, kita dapat menumpukan perhatian kepada usaha menangani wabak dan pemulihan ekonomi COVID-19.

"Tahniah dan saya berharap mereka (Kabinet Persekutuan) menjalankan tugas mereka dengan baik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas mengenai pelantikan semula Datuk Seri Maximus Ongkili dan Datuk Seri Ronald Kiandee ke portfolia sebelum ini, Hajiji berkata ia membolehkan kedua-dua pemimpin meneruskan apa yang telah dirancangkan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama erat dengan Maximus dalam menyelesaikan semua hal yang berkaitan dengan hak negara seperti yang termaktub dalam dokumen sebelum kemerdekaan seperti laporan IGC dan MA63.

Tambahnya, portfolio yang dipegang Ronald pula sangat penting dalam membantu kerajaan negeri mencapai rancangan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang mengutamakan pertanian.

Mengulas mengenai pelantikan dua muka baharu dari Sabah iaitu Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin, Hajiji yakin kedua-dua mereka ada kemampuan dan kebolehan untuk menjalankan tugas.